Pasar Malam Metrocity dibuka

KUCHING: Pasar Malam Metrocity Matang kini beroperasi semula sejak semalam dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan Penjaja Petra Jaya, Mohamad Khairuzie Bolhassan berkata, pihaknya mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) meneruskan semula operasi niaga di Metrocity.

“Sebenarnya, kami mendapat kelulusan untuk beroperasi sejak Rabu dan sepatutnya berniaga pada Khamis.

“Bagaimanapun, pihak kami mengambil langkah untuk membuat persediaan awal berkenaan SOP yang perlu diterapkan oleh pengunjung dan peniaga demi keselamatan bersama,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Menurut beliau, pihaknya bukan sahaja memohon untuk pembukaan pasar malam di Metrocity, malah turut memohon pembukaan Pasar Seni Jalan Satok dan Pasar Malam Civic.

“Kami bukan tidak akur dengan keputusan JPBN sebelum ini, tetapi langkah ini adalah untuk membantu peniaga yang kebanyakannya bergantung dengan hasil niaga di pasar malam.

“Di samping itu, kami juga mendapat bantuan daripada beberapa agensi berkaitan termasuk petugas Rela, polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan operasi niaga di sini dalam keadaan terkawal,” tambahnya.

Beliau turut mendedahkan, hukuman denda turut dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita juga menetapkan kemasukan pelanggan melalui satu pintu sahaja dan mewajibkan jumlah kepada tiga orang sahaja dalam satu kanopi ketika berjual beli.

“Operasi di sini juga adalah seperti biasa bermula 4 petang hingga 10 malam dengan kawalan ketat daripada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Mengulas sambutan pelanggan, Khairuzie mengatakan ramai yang menyokong pembukaan pasar malam Metrocity demi kelangsungan penjaja yang berniaga.

“Saya berharap semua pihak tanpa mengira pengunjung atau penjaja memberi kerjasama memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Suara Sarawak