Pasar malam Tamu Nyelong sudut pertemuan pelbagai kaum

SARIKEI: Inisiatif peniaga kecil mewujudkan pasar malam di kawasan Tamu Nyelong membuahkan hasil apabila mendapat sambutan pelanggan sekali gus menghidupkan suasana malam di kawasan itu terutama pada hujung minggu.

Wakil penjaja, Awang Badrul Hisham Awang Jemat berkata, pasar malam yang menggabungkan pelbagai variasi jualan itu beroperasi pada jam 4.00 petang hingga 10 malam setiap Jumaat dan Sabtu.

Menurutnya, pasar yang bukan hanya untuk peniaga Bumiputera itu menyerlahkan kombinasi pelbagai kaum agar pengunjung dapat menghayati keunikan di Sarikei.

“Usaha kami berniaga di tapak ini bertujuan mengembalikan keceriaan suasana malam di Sarikei di samping menarik lebih ramai pengunjung ke tapak yang sebelum ini suram.

“Hari pertama beroperasi sambutannya amat luar biasa dan begitu juga untuk minggu yang berikutnya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, pasar malam itu bukan khusus untuk para peniaga menjual makanan dan minuman sebaliknya beraneka jualan lain termasuk pakaian, barangan keperluan rumah dan lain-lain lagi.

Setakat ini katanya, seramai 60 peniaga beroperasi di kawasan itu dan kebanyakannya peniaga kecil sekitar daerah ini.

“Peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum bukan menjadi penghalang bagi meneruskan aktiviti jual beli di pasar malam ini.

Kami menawarkan harga yang sangat berpatutan.

Jika ada tawar menawar, itu perkara biasa,” katanya.

Awang Badrul optimis pasar malam itu bakal menjadi nadi kepada ekonomi peniaga kecil Sarikei pada masa depan jika sambutan positif yang diterima peniaga di tapak itu berterusan.

Malah katanya, momentum pembelian belum mencapai tahap sebenar tambahan pula negara masih berdepan jangkitan pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, kami yakin situasi berkenaan bakal berubah. Setakat ini, kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pada masa yang sama, pengunjung juga mengamalkan SOP ditetapkan, sekali gus menyaksikan semua pihak tidak perlu bimbang untuk membeli-belah di pasar malam ini,” jelasnya.