Pasar Mingguan Sibu sepi

SIBU: Pasar Mingguan Sibu yang terletak di Taman Indah, Teku di sini terus sepi.

Tinjauan mendapati keadaannya bertambah lengang sejak Sabtu dan jumlah pengunjung kurang.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika dihubungi memberitahu, hanya 28 daripada 147 peniaga yang membuka gerai mereka di pasar tersebut.

“Ini menunjukkan jumlahnya lebih rendah berbanding semalam (Sabtu).

Pengunjungnya juga amat kurang,” kata beliau.

Menurut Ting lagi, orang ramai terus menjauhkan diri dan mengelak untuk mengunjungi pasar tersebut setelah empat wanita warga Indonesia disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Jelasnya, empat wanita terbabit telah turun di perhentian bas berhampiran kawasan pasar tersebut sekali gus memberi kesan buruk kepada pasar itu.

Rentetan itu kata Ting, ramai peniaga memilih untuk tidak turun berniaga semalam dan Sabtu bagi keselamatan masing-masing.

Bagaimanapun ujarnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih giat menjalankan ujian Swab PCR tidak jauh dari lokasi pasar tersebut dan sambutannya pagi semalam amat menggalakkan.

“Keputusan ujian akan memakan masa beberapa hari untuk diketahui.

“Kita berharap agar warga Sibu terus dilindungi daripada wabak pandemik ini.

“Saya akan terus mengemas kini apa-apa perkembangan Covid-19 di Sibu dalam laman sosial.

“Kita juga turut risau dan bimbang setelah seorang lagi lelaki di sini disahkan positif Covid-19 pada Sabtu ketika menjalani pemeriksaan sebelum melakukan penbedahan di Hospital Sibu.

Ia dikatakan kes tempatan iaitu penularan tempatan,” kata beliau.

Ting turut mengingatkan warga Sibu agar terus berwaspada memandangkan kedua-dua lelaki di sini yang disahkan positif Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala serta tidak pernah mengunjungi mana-mana negara mahupun negeri yang berisiko dengan wabak tersebut.

“Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) sekiranya keluar dari rumah.

“Keluar jika perlu dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar Sibu dapat dijauhi dari wabak ini,” ujar beliau.