Pasar Sentral Sibu beroperasi semula esok

SIBU: Pasar Sentral Sibu yang ditutup operasinya hampir tiga minggu yang lalu akan beroperasi bermula esok (Isnin).

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika dihubungi sebentar tadi

“Ya. Pasar Sentral Sibu yang terletak di Jalan Channel akan beroperasi semula pada 1 Mac setelah pihak majlis mempertimbangkan perkara ini berdasarkan kes Covid-19 membabitkan para penjajanya yang memuaskan menerusi ujian calitan mereka baru-baru ini.

“Bagaimanapun, operasi di pasar tersebut akan dijalankan seperti sebelum ini dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu secara bergilir-gilir.

“Hanya 50 peratus penjaja atau 500 penjaja sahaja akan dibenarkan berniaga mengikut giliran pada setiap hari,” tegas beliau.

Pasar terbesar itu mula ditutup dari 8 Februari hingga 14 Februari namun tempoh penutupannya dilanjutkan semula pada 15 Februari sehingga 19 Februari.

Namun penutupannya dilanjutkan lagi dari 19 Februari sehingga 28 Februari.

“Sudah tiga kali penutupannya dilanjutkan oleh MPS. Ini disebabkan jumlah kes positif COVID-19 membabitkan para penjaja serta kakitangan MPS yang terus meningkat melibatkan pasar berkenaan,” ujar Ting.

Pasar berkenaan yang menjual pelbagai jenis barangan menempatkan seramai 1,100 penjaja.

Suara Sarawak