Pasar Tamu Mukah ditutup sementara untuk dinaiktaraf

MUKAH: Kawasan bangunan pasar tamu yang menjual sayur-sayuran,buah-buahan dan ikan panggang yang berada di pasar lama Mukah akan ditutup sementara bermula 1 November (Jumaat) sehingga 25 November minggu hadapan.

Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dalam satu notis memaklumkan penutupan sementara tersebut dibuat untuk memberi laluan kerja-kerja menaiktaraf pasar tamu tersebut sebagaimana yang pernah dimaklumkan sebelum ini.

“Lokasi sementara untuk menempatkan peniaga pasar tamu sayur tersebut ialah di kawasan tempat letak kereta awam yang berada di belakang Kedai Taat Choon.

“Manakala, untuk peniaga buah-buahan dan ikan panggang mereka akan ditempatkan sementara di dataran Udang yang berada berdekatan dengan pasar basah,” jelas kenyataan tersebut.

Pihak MDDM turut memohon kerjasama penuh semua pihak agar maklum akan perkara berkenaan dapat menjayakan usaha dalam menaik taraf pasar tamu tersebut, segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali.

Dalam perkembangan sama, minggu lalu, Adun Tellian Yusibnosh Balo telah menyerah peruntukan RM500,000.00 untuk Projek RTP kepada pihak agensi pelaksana iaitu MDDM dan diserahkan kepada kontraktor untuk menaik taraf pasar tamu, termasuk untuk mobile toilet dan pelbagai lagi keperluan kemudahan infrastruktur lain untuk pengguna di Mukah.