Pasaran kerja Centexs luas

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Kampus Mukah mula beroperasi pada suku kedua tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman.

Menurutnya, Centexs mengembangkan sayapnya ke Lundu, Dalat, Lawas dan Betong setakat ini selain kampus induknya di Santubong, Kuching.

“Kampus seterusnya adalah di Mukah apabila dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun ini.

“Dengan pembukaan baharu ini, kita berminat membantu Kerajaan Sarawak mennyediakan pelbagai latihan teknikal, digital dan warisan kepada anak muda.

“Ia akan membantu anak muda menjadi pakar dalam pelbagai bidang teknikal, digital dan warisan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen Kelima Centexs yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini, semalam.

Tambah Mohd Hussein, pihaknya sentiasa komited membangunkan modal insan, sumber dan bakat dalam bidang teknikal, digital dan warisan sebagai usaha mewujudkan landasan yang kukuh untuk pasaran industri di Sarawak.

“Dengan jaminan pekerjaan dan sijil yang diiktiraf industri seperti Petronas, Majlis Minyak dan Gas Malaysia, institut Kimpalan, Lembaga Pelabuhan Kuching, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan serta lain-lainnya, alumni Centexs berupaya mendapat pekerjaan sewajarnya selain menceburi bidang keusahawanan.

“Penawaran 27 program dalam teknikal, digital dan warisan, Centexs mampu memberi harapan dan peluang baharu kepada anak muda berbakat di samping meraih pendapatan lumayan,” jelasnya.

Malah tegasnya, Centexs akan menubuhkan latihan digital dan makmal digital pertama di Kuching yang membentul Akademi Digital.

“Kita menyediakan anak-anak muda Sarawak ke arah dunia digital agar mampu berdepan dengan revolusi industri 4.0 pada masa akan datang.

“Ia adalah asas perkembangan ekonomi digital Sarawak dan acuan seterusnya untuk anak-anak muda negeri ini menceburi bidang pekerjaan,” ujarnya

Beliau memuji sikap ibu bapa yang menyokong anak melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal, digital dan warisan di negeri ini.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan 478 pelajar menerima sijil dalam pengajian bidang minyak dan gas, elektrikal dan pelabuhan, pembinaan, tekstil dan hospitaliti serta digital.