ARTIKEL

Pasaran modal jadi kunci untuk tingkatkan pembiayaan PKS, galakan inovasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pasaran modal boleh menawarkan mekanisme tidak langsung untuk bertindak sebagai pemberi pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menyokong pembiayaan PKS, menurut Bank Dunia.

Penyelesaian melalui pasaran modal telah digunakan di beberapa negara berpendapatan sederhana dan tinggi oleh pemberi pinjaman PKS bagi meningkatkan struktur pembiayaan mereka, membolehkan mereka bersaing dengan lebih berkesan dalam pasaran kredit, kata pemberi pinjaman pelbagai hala yang berpangkalan di Washington DC itu.

“Ini seterusnya, boleh menghasilkan pengembangan pembiayaan kepada PKS, penambahbaikan keadaan dalam pemberian pinjaman atau kedua-duanya,” kata bank itu dalam artikelnya bertajuk “Pasaran Modal untuk PKS: Kesalinglengkapan Ekuiti dan Pembiayaan Hutang”.

Artikel itu terkandung dalam “Memangkin Akses Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028)” Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang dilancarkan hari ini, yang mana Kumpulan Bank Dunia merupakan penasihat teknikal.

Pelan hala tuju itu dilancarkan bagi menyediakan pelan tindakan lima tahun dengan strategi silang bertujuan mentransformasikan pasaran modal untuk meningkatkan akses kepada PMKS (termasuk syarikat pemula niaga) dan MTC.

Bank Dunia berkata di banyak negara, bank dan pada tahap yang lebih rendah, pemberi pinjaman PKS lain menggunakan pasaran modal untuk mengumpul pembiayaan jangka panjang melalui instrumen yang agak mudah, seperti bon-bon yang paling asas.

“Dalam pasaran modal yang lebih canggih, kedua-dua bank dan pemberi pinjaman PKS yang lain telah menggunakan instrumen yang lebih terikat secara langsung dengan portfolio PKS mereka, seperti pensekuritian pinjaman PKS mereka,” katanya.

Institusi kewangan Bretton Woods berkata pembiayaan ekuiti juga boleh menjadi berkuasa dalam mempromosikan inovasi.

“Aktiviti inovatif sememangnya berisiko dan secara amnya melibatkan pelaburan dalam aset tidak ketara, seperti penyelidikan dan pembangunan, yang menawarkan nilai cagaran terhad. Akibatnya, pelaburan jenis ini sukar dibiayai dengan hutang,” katanya.

Pembiayaan ekuiti dan hutang memainkan peranan penting tetapi berbeza dalam menyokong produktiviti dan pertumbuhan firma, katanya.

“Walaupun ekuiti boleh membiayai apa-apa jenis pelaburan, ia selalunya memberi manfaat yang tidak seimbang kepada firma yang melabur dalam aktiviti inovatif,” katanya.

Bank Dunia berkata penyelidikannya akan datang menunjukkan bahawa negara yang mempunyai output berkaitan pengetahuan dan teknologi yang lebih tinggi, dan dengan bahagian yang lebih besar daripada firma yang terlibat dalam aktiviti inovatif, akan mendapat manfaat paling banyak daripada peningkatan akses kepada pembiayaan ekuiti.

“Bagaimanapun, pembiayaan modal teroka sering cenderung ke arah set sempit sektor teknologi tinggi dan firma yang lebih besar, menunjukkan bahawa pembiayaan ekuiti mungkin memainkan peranan terhad dalam memajukan perubahan teknologi di pasaran baru muncul dan ekonomi membangun.

“Oleh itu, keterbelakangan pasaran ekuiti boleh menghalang pelaksanaan aktiviti inovatif, memberi kesan kepada produktiviti dan pertumbuhan agregat,” tambahnya.

Dalam artikel berasingan, Bank Dunia menekankan kewangan gabungan sebagai alat penting untuk membangunkan pasaran kewangan dan menggerakkan modal swasta, sambil berpotensi mengurangkan keperluan pembiayaan awam bagi merapatkan jurang pembiayaan PKS.

“Kewangan gabungan boleh mewujudkan peluang pelaburan untuk pelabur swasta dengan profil pulangan risiko yang boleh diterima bagi sektor swasta,” katanya.

Dari segi konteks pembiayaan PKS dalam pasaran modal, ia menyatakan bahawa struktur kewangan gabungan boleh meningkatkan ketersediaan pembiayaan untuk PKS dengan pelbagai cara.

Ia berkata urus niaga kewangan gabungan telah memberi manfaat kepada PKS secara langsung seperti syarikat pemula niaga, perniagaan kecil dan yang berkembang, dan secara tidak langsung dengan menyokong institusi kewangan yang menyediakan pembiayaan kepada PKS, seperti institusi kewangan mikro dan bank.

“Kewangan gabungan juga boleh menyokong aktiviti penjanaan modal yang menggalakkan pembiayaan PKS dalam pasaran hutang dan ekuiti melalui pembiayaan terus kepada pemberi pinjaman PKS atau jaminan kredit separa konsesi,” tambahnya.

– Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Zii Jia juara Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meraih gelaran kedua musim ini selepas  merangkul kejuaraan Terbuka Australia 2024 dengan menewaskan wakil Jepun

Faisal Halim ibarat pecahan yang hilang — Nidzam

KUALA LUMPUR: Suasana emosi menyelubungi bilik persalinan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat