Pastikan anak Sarawak isi kekosongan guru di Sarawak

KUCHING: Enam persatuan Dayak Sarawak menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengkaji syarat pengambilan agar memberi keutamaan kepada siswazah Sarawak di bawah pengambilan khas guru secara ‘one-off’ untuk ditempatkan di negeri ini.

Mereka terdiri daripada Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Iban Sarawak (PAIS), Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN), Persatuan SADIA (Miri) dan Persatuan Terabai Menua Sarawak.

Jurucakap mereka, Presiden DTTAS Elias Lipi Mat dan Presiden DNC Paul Raja berkata mereka menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengenai pengambilan khas seramai 18,702 guru gred DG41 bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru yang sudah sekian lama membelenggu pendidikan negara.

Sehubungan itu, katanya pengambilan anak tempatan Sarawak untuk mengisi kekosongan guru di Sarawak amat perlu, yang secara tidak langsung membantu dari segi penempatan guru ke seluruh kawasan di negeri ini.

“Tanpa menafikan perlunya guru dari Semenanjung bagi tujuan integrasi nasional tetapi atas keperluan yang tidak dapat dielakkan bagi bidang tertentu, ia akan membantu dari segi penempatan guru ke seluruh kawasan di Sarawak.

“Warga tempatan yang berkhidmat dalam profesion perguruan lebih faham akan masalah, isu dan aspirasi masyarakat mereka sekaligus dapat menjadi teladan dan motivasi kepada pelajar yang dididik,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Pada masa sama, Elias dan Paul berkata kerajaan Sarawak juga harus segera campur tangan dalam pengambilan khas guru yang akan dilaksanakan itu, bagi merealisasikan sasaran 90 peratus guru tempatan untuk mengajar di negeri ini.

Katanya, pelan tindakan untuk mencapai nisbah 90 guru Sarawak dan 10 guru Semenanjung/Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dilihat berada pada landasan yang tepat sekiranya dasar dan polisi pengambilan guru itu menitikberatkan dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak sendiri.

Justeru, mereka menggesa Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi untuk mengemukakan pelan tindakan konkrit dan efektif bagi memastikan dasar nisbah 90 peratus guru tempatan dapat dicapai.

“Menteri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong wajar meletakan dasar-dasar polisi tersebut sebagai keutamaan beliau.

“Kementerian bersama Jabatan Pendidikan Negeri harus merangka formula dan strategi bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai,” katanya.

Menurut Elias dan Paul, adalah tidak adil untuk menggunakan kayu pengukur yang sama bagi calon guru dari luar bandar daripada etnik minoriti tertentu dari pedalaman Sabah dan Sarawak.

Mereka ini kekurangan dalam pelbagai segi, termasuk pendedahan kerana tinggal di pedalaman.

“Memasukkan mereka dalam kumpulan besar permohonan dan melalui sesi temu duga serta pemilihan yang ketat berdasarkan merit, bersama-sama calon lain dari seluruh negara adalah tidak adil dan tentunya peluang mereka untuk terpilih adalah tipis,” katanya.

Suara Sarawak