Pastikan daging import halal, buat pemeriksaan menyeluruh di Sarawak

KUCHING: Persatuan Suara Pengguna Sarawak (Covas) menggesa Majlis Agama Islam Sarawak dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat penyiasatan rapi terhadap syarikat pengimport, logistik halal dan pengedar daging halal yang terdapat di seluruh negeri ini.

Timbalan Presiden Covas Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, ia bagi menyakinkan pengguna Islam di Sarawak, susulan kes kartel daging haram dan pemalsuan logo halal yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Berdasarkan tinjauan Covas kepada pengguna Islam di Sarawak mengenai isu kartel daging haram yang sedang hangat diperkatakan, mereka kecewa malah ada dakwaan tidak akan membeli daging imprt walaupun harganya lebih murah daripada daging tempatan yang terdapat di pasar raya.

“Mereka sanggup membeli ayam dan ikan sahaja untuk memastikan makanan mereka daripada sumber yang halal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mencadangkan supaya Majlis Agama Islam Sarawak dan KPDNHEP yang menyenaraikan nama syarikat pengimport kepada umum melalui akhbar tempatan.

“Tindakan pihak berwajib ini penting dan perlu disegerakan agar peniaga runcit, pengusaha borong termasuk pengimport yang terlibat dalam perniagaan daging import halal ini mendapat kepercayaan awam semula,” katanya.

Shamsudin menambah, Covas mencadangkan supaya syarikat pengimport daging halal atau pasar raya di Sarawak yang menjual daging halal berkongsi kenyataan melalui akhbar mengenai pembekal masing-masing.

“Dari negara mana mereka mendapat bekalan daging halal tersebut. Misalnya, dari syarikat di Australia, India dan lain-lain.

“Nyatakan juga jenama produk tersebut supaya dengan cara ini boleh menyakinkan pengguna untuk membuat pilihan apabila membeli daging itu,” katanya.