KUCHING: Rakyat Sarawak perlu terus memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya segala perancangan pembangunan dapat direalisasikan khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, begitu banyak projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan sekarang, dan ini jelas menunjukkan tumpuan GPS yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan negeri ini.
“Teruskan menyokong sepenuhnya kepimpinan Abang Johari, Kerajaan GPS dan ini menjamin masa depan kita, anak cucu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Buntal Lama di sini, pada Selasa.
Menurut Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, rakyat Sarawak harus menilai daripada pertukaran Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH), yang menyaksikan projek mega seperti pembinaan jambatan menghubungkan laluan pesisir dibatalkan.
Justeru, Awang Tengah menegaskan bahawa rakyat Sarawak tidak harus tertipu lagi dengan pembohongan pemimpin parti di bawah PH, khususnya DAP dan PKR. “Mereka menjanjikan royalti minyak dan sebagainya tetapi semuanya hanya pembohongan, sebaliknya sejumlah RM2.9 bilion projek untuk Sarawak dibatalkan.
Ini menidakkan hak kita,” katanya. Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat Sarawak memberikan mandat besar kepada GPS untuk menerajui kepimpinan Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang. “Kita harus bekerjasama menyokong kerajaan, Abang Jo… pastikan calon GPS menang di setiap kerusi,” katanya.