Pastikan kebajikan rakyat terjamin

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) terus komited memastikan kebajikan rakyat Sarawak yang memerlukan terjamin menerusi skim bantuan bulanan yang diberikan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kebiasaannya mereka yang memerlukan bantuan akan dirujuk kepada JKMS kerana terdapat rakyat Sarawak yang hidup dalam keadaan daif.

“Bilangan yang tinggi menerima bantuan adalah di bawah Bantuan Orang Tua (BOT) dengan jumlah 19,584 orang penerima, bagi Bantuan Am 10,632 penerima.

“Manakala bantuan untuk orang kurang upaya dibahagikan kepada dua iaitu Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) merekodkan 7,841 penerima dan Elaun Pekerja Cacat (EPC) 3,339 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik Kenyalang Gold Card (KGC) dan Penyerahan Bantuan Kebajikan di Hotel Waterfront di sini pada Isnin. Fatimah berkata, bantuan yang selalu dipohon di bawah JKMS adalah Bantuan Kanak-kanak (BKK) yang diberikan kepada ibu atau bapa tunggal.

“BKK ini adalah untuk membantu mereka dalam membesarkan anak-anak, di bawah BKK ini kita mempunyai 7,656 penerima. “Sehubungan itu, bantuan juga diberikan kepada penjaga pesakit kronik dan OKU terlantar dan jumlah penerima untuk bantuan ini di Sarawak ialah 1,880 orang.

“Kita juga mempunyai empat penerima untuk Bantuan BeliaBeliawanis (BBB) manakala 16 penerima untuk Bantuan Anak Pelihara (BAP),” jelasnya. Ekoran itu, Fatimah memaklumkan ia merupakan statistik penerima bantuan bulanan yang direkodkan dari Januari hingga bulan ini (Mac 2021).

Sebagai rekod, terdapat 50,952 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM60,299,956. Dalam pada itu, beliau memberitahu kakitangan JKMS perlu memantau dan membuat laporan berhubung dengan bantuan berkenaan. “Sekiranya ada yang tidak memerlukan bantuan ia akan diberhentikan dan jika diperlukan bantuan akan diberikan,” tegasnya.

Suara Sarawak