Pastikan lagu Melanau popular

MUKAH: “Saya sudi untuk membimbing penyanyi baharu jika mereka mahu tunjuk ajar saya.

Mudah-mudahan industri lagu Melanau terus mendapat sambutan.”

Itu antara kata-kata penyanyi Melanau yang cukup dikenali di Sarawak,

Raymond Enyau yang berasal dari Kampung Tellian, Mukah.

Usia 61 tahun tidak menghalangnya untuk menyimpan hasrat melihat agar lebih ramai lagi pencipta lagu yang asli dapat dilahirkan suatu hari nanti.

“Saya juga berharap ramai penyanyi Melanau baharu yang berbakat muncul untuk memeriahkan industri muzik tempatan khususnya untuk muzik Melanau.

“Oleh itu, saya nasihatkan mereka untuk menghantar lagu-lagu baharu yang dicipta kepada pegawai penilai dan penapis RTM untuk proses penilaian.

“Kalau tidak, lagu-lagu anda ini akan terperap begitu sahaja.

Jangan segan untuk kongsikan dan kembangkan bakat anda dalam industri muzik,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Menurutnya, sesuatu harus dilakukan untuk memastikan lagu Melanau dikenali ramai dan kekal segar dalam industri muzik Sarawak.

Maka, katanya, perkara tersebut dapat direalisasikan dengan menghantar lagu-lagu Melanau yang dicipta, antaranya kepada pihak penyiaran seperti RTM Sarawak untuk disiarkan dan dikomersialkan. Berhubung album terbaharunya yang dinamakan sempena namanya ‘Raymond Enyau, Blues Aneak Melanau’, Raymond berkata, beberapa lagu berbahasa Melanau kini boleh didengar dan berkumandang di stesen RTM.

“Sembilan lagu saya telah lulus tapisan oleh pihak RTM, termasuk dua lagu berbahasa
Melayu.

“Lagu berjudul Kerajaan Cinta pula mula dimainkan minggu lalu menerusi siaran radio RTM SarawakFM.

“Beberapa lagu lain berjudul Kak Sumbuong Dirik (Jangan Sombong Diri), Blues Anak Melanau, Suratan Kita Tiada, Debei Seratan (Tiada Suratan), Joget Bukan Tabek Seberang, Serba Salak, Kerajaan Cinta, dan Pulek (Pulang),” katanya lagi.

Raymond yang juga pesara guru turut berharap agar semua lagunya diterima ramai serta dapat menghibur sesiapa yang suka mendengar lagu Melanau.

“Setakat ini banyak respons positif diterima daripada para peminat saya. “Sebagai salah seorang penyanyi Melanau, saya berharap industri muzik Melanau terus berkembang dan dapat bersaing dengan industri muzik daripada bangsa lain,” ujarnya.

Oleh itu, Raymond ingin merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada penerbit album Iskandar Bujang kerana begitu komited memberi bimbingan serta kerjasama semasa proses rakaman selesai. Pencipta lagu seperti Nai Dinamik, Aday 13, Iskandar Bujang dan penulis lirik Abang Hassim Shah antara individu lain yang menyumbang kepada penghasilan album tersebut.

Pemuzik seperti Jebie dan Imran Iskandar turut membantunya menghasilkan susunan muzik yang terbaik untuk album Blues Aneak Melanau ini.

“Tidak dilupakan juga kepada keluarga serta rakan-rakan guru SMK Three Rivers serta pelajar yang banyak memberi perangsang serta dorongan dan para penyokong lagu Melanau saya yang tidak jemu memberi sokongan,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak