ARTIKEL

Pastikan pengeluaran sawit secara mampan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Malaysia komited dalam memastikan pengeluaran sawit negara dilaksanakan secara mampan, termasuk pematuhan piawaian kemampanan yang melibatkan soal kebajikan, hak asasi pekerja dan amalan buruh paksa.

Menegaskan perkara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementeriannya memandang serius isu yang mendapat perhatian komuniti antarabangsa, sekali gus memastikan negara tidak lagi dituduh dengan isu tidak sahih. 

Selain itu, pihaknya memastikan Malaysia komited dalam menjaga serta mengekalkan persekitaran mampan, di samping berusaha membantu meningkatkan pengeluaran sawit negara. 

“Kita juga bagi komitmen bahawa tiada lagi isu- isu soal penebangan hutan untuk menanam kelapa sawit.

Kita menumpukan kawasan sedia ada iaitu 5.7 juta hektar bagi meningkatkan hasilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pengenalan Standard MSPO (MS2530:2022) dan Aspek Sosial Dalam Perniagaan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA).

 Terdahulu dalam ucapannya, Johari memaklumkan pada 2023, industri sawit menyumbang sekitar tiga peratus kepada pendapatan ekonomi negara dan RM102 bilion kepada hasil eksport.

Beliau berkata, sektor terbabit menjadi punca rezeki bagi seramai 447,581 pekebun kecil.

Johari turut berjumpa dengan semua pemegang taruh bagi memahami dan menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh industri terbabit. 

“Diharap industri sawit di Malaysia dapat dijadikan contoh dan rujukan bagi komuniti antarabangsa dalam aspek kemampanan dalam menangani krisis perubahan iklim mahupun aspek sosial,” katanya. 

Menurutnya, ia berikutan sejak 20 hingga 30 tahun yang lalu, industri sawit dikaitkan dengan isu kemampanan seperti penebangan hutan, kehilangan habitat hidupan liar, pelepasan karbon dan perubahan iklim. 

Sejurus majlis itu, Johari dan rombongan kemudian mengadakan lawatan ke Syarikat SOP Green Energy Sdn Bhd.

Semasa lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat ringkas berkenaan peranan dan fungsi yang dimainkan syarikat berkenaan di peringkat hiliran dalam sektor sawit.

BERITA LAIN

Perodua pamer prototaip EV pertama di Malaysia Autoshow 2024

SERDANG, Selangor: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengorak langkah dalam pembangunan teknologi elektriknya dengan memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Myvi Conversion. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk

BERITA TERBARU

Sarawak tanam 34 juta pokok

Salah satu punca konflik meningkat ialah kehilangan kawasan hutan dan ia dikaitkan dengan penularan penyakit zoonotik — penyakit daripada haiwan kepada manusia. Faktor lain seperti