Pastikan penjawat awam bebas rasuah

KUCHING: Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bukan hanya untuk perhiasan tetapi sentiasa dipantau rapi dan serius bagi mencapai matlamat memastikan penjawat awam bebas rasuah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata, semua inisiatif yang terkandung di bawah pelan tersebut mesti diamal secara cekap dan berkesan supaya dapat melahirkan organisasi berintegriti dengan sistem urus tadbir kemas.

“Pelan ini merupakan dokumen induk sebagai rujukan dan panduan semua agensi di Sarawak, dan ia hendaklah dilaksanakan bersungguh-sungguh, cekap, berkesan dan tekun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran OACP Pejabat Pentadbiran Bahagian Kuching di sini pada Jumaat.

“Saya difahamkan sekurang-kurangnya 12 sumber rujukan utama digunakan dalam membuat analisis dan mengenal pasti bidang keutamaan berdasarkan risiko kemungkinan berlakunya rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam.

“Saya percaya pentadbiran Bahagian Kuching melalui kesemua proses tersebut dengan jayanya. Ini termasuk menyemak dengan teliti rekod untuk tempoh lima tahun kebelakangan ini sebagai panduan dalam mengenal pasti inisiatif untuk dimuatkan dalam pelan ini.

“Tahniah juga kerana berjaya menyiapkan OACP yang pertama daripada pentadbiran di Bahagian Kuching ini,” ujarnya.  Tambahnya, usaha tersebut sebagai komitmen Kerajaan Sarawak untuk bersama-sama menjayakan aspirasi negara dalam Pelan Antirasuah Kebangsaan 2019 hingga 2023.

“Di samping itu, ia merupakan dokumen utama Kerajaan Persekutuan bagi memerangi rasuah secara habis-habisan dengan merangkumi enam strategi dan 115 inisiatif.

“Ia juga bagi meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan usaha menangani kebarangkalian berlakunya rasuah, dua daripada 115 inisiatif berkenaan ialah penyediaan OACP,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak mula mengeluarkan pekeliling khas OACP pada Jun 2020 sebagai panduan penyediaan pelan untuk semua agensi negeri, selain melatih 30 pegawai negeri untuk dijadikan tenaga terlatih dan diakreditasi bagi mengendalikan semua bengkel berkaitan.

Suara Sarawak