ARTIKEL

Datuk Abdullah Saidol berucap pada majlis penutupan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di Hotel Pullman, Kuching, hari ini. Foto Mohd Alif Noni

Pastikan penulisan utamakan nilai kemanusiaan – Abdullah Saidol

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perang persepsi menerusi media sosial dan penulisan mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat serta mencetuskan perpecahan jika tidak ditangani secara bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Beliau yang juga Pengerusi Penganjur Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 berkata, naratif yang dibentuk melalui media berupaya mencorakkan persepsi masyarakat sehingga mencetuskan kebencian, perkauman dan konflik sekiranya tidak diurus dengan beretika.

“Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kandungan yang dihasilkan mengutamakan nilai kemanusiaan. Walaupun media tidak dapat lari daripada elemen sensasi, prinsip asas yang perlu dipegang ialah memastikan kandungan tidak menggugat keharmonian masyarakat, khususnya di Sarawak yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan SMeC 2026 di Hotel Pullman, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, peranan media kini semakin penting seiring kedudukan Sarawak sebagai tuan rumah pelbagai persidangan antarabangsa yang memerlukan liputan berkualiti bagi memperkukuh imej negeri di peringkat global.

Menurutnya, industri media bukan sahaja melibatkan wartawan, malah editor, penerbit, jurugambar, pencipta kandungan, animator serta pelbagai tenaga kerja di belakang tabir yang turut menyumbang kepada penyampaian maklumat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak sedang merancang mewujudkan sebuah Rumah Media yang menyediakan ruang kerja dan rehat yang selesa, internet berkelajuan tinggi, ruang santai, kemudahan makanan serta kemudahan riadah bagi meningkatkan kebajikan pengamal media.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur dan penaja yang menjayakan SMeC 2026, selain berharap persidangan itu terus menjadi platform mencetuskan idea serta cadangan baharu bagi memperkukuh industri media di Sarawak.

Persidangan sehari itu menghimpunkan lebih 800 peserta yang terdiri daripada kakitangan agensi dan jabatan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pengamal media dari seluruh Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Tiga lelaki ditan

MUKAH: Tiga lelaki peranak menua beumur entara 24 nyentuk 26 taun ditan pengudah ditemu positif dadah bansa methamphetamine ba Operasyen Begulai Nagang Penyah t i