Pastikan projek rakyat tidak terbengkalai

SRI AMAN: Pasukan Petugas Khas Pemantauan Projek Negeri komited dalam menjalankan kerja pemantauan untuk memastikan projek dan program pembangunan di Sarawak berjalan dengan baik.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak Dr. Muhammad Abdullah Zaidel Sarawak dalam satu kenyataannya semalam berkata, pasukan itu akan memastikan pelaksanaan projek dan program pembangunan di 12 bahagian di negeri ini mengikut jadual, bajet serta mencapai objektif pelaksanaan.

“Pasukan ini juga mengenal pasti dan menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan program atau projek seawal peringkat pelaksanaan bagi mengelakkan berlaku projek lewat jadual.

“Di samping itu, pasukan ini juga perlu memastikan program atau projek berjalan mengikut kaedah yang efektif dan berkesan selain mematuhi peraturan dan garis panduan termasuk memberi faedah kepada kumpulan sasar,” katanya.

Katanya, antara perkara lain yang dilaksanakan oleh pasukan petugas ialah mesyuarat, lawatan tapak berkala dan perbincangan serta dialog dengan pemegang taruh seperti agensi pelaksana, kontraktor dan kumpulan sasar.

“Sebagai salah sebuah agensi pusat negeri, EPU dilantik untuk mengetuai pasukan petugas khas di Bahagian Sri Aman manakala Residen Bahagian Sri Aman dilantik sebagai setiausaha,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemantauan Projek Negeri Bahagian Sri Aman Bil.1/2020 di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Sri Aman.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Dr. Muhammad dan turut dihadiri Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai sebagai sekretariat pasukan petugas khas ini.

Mesyuarat itu dihadiri pelbagai kementerian dan agensi pelaksana bagi projek dan program termasuk projek rakyat.

Kenyataan itu juga mendedahkan, mesyuarat membincangkan status pelaksanaan dan isu pelaksanaan dan langkah penyelesaian untuk mengelakkan kerja dan pelaksanaan tertangguh.

Sejurus selepas mesyuarat tersebut, satu sesi randau bersama-sama kontraktor di Bahagian Sri Aman diadakan untuk menyampaikan maklumat dasar kerajaan dan membincangkan pelaksanaan projek dan isu yang dihadapi oleh kontraktor.

Selepas itu, program lawatan tapak diadakan untuk turun padang meninjau perkembangan terkini pelaksanaan projek di tapak projek naik taraf tebingan Pesta Benak dan SK Melugu Sri Aman.

Untuk rekod, pasukan ini telah ditubuhkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Negeri (SDMC) Bil.2/2020 pada 27 Julai 2020.

Suara Sarawak