Pastikan rakyat faham inisiatif kerajaan

SEMARANG: Jentera parti di peringkat akar umbi memainkan peranan utama untuk menyebarluaskan inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Adun Beting Maro Razaili Gapor berkata, banyak inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan GPS memberi faedah kepada rakyat khususnya di luar bandar.

“Saya harap kita tidak ketinggalan!

“Sebab itu saya menyeru jentera parti di peringkat akar umbi supaya lebih peka, mungkin kita dapat menolong penduduk di kawasan masing-masing untuk menikmati pelbagai inisiatif kerajaan.

“Misalnya Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) selain skim air percuma, kos sambungan elektrik secara percuma untuk caj berjumlah RM5,000 ke bawah dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir perjumpaan bersama-sama jentera K10 ranting-ranting PBB Kampung Semarang, semalam.

Jelasnya, Pusat Khidmat Adun mempunyai maklumat yang lengkap untuk dirujuk tentang perkara tersebut.

Razaili menegaskan, setiap perkara yang dilakukan oleh Kerajaan GPS hari ini demi membantu rakyat dan tidak hairan kesemua inisiatif dibuat berpaksikan aspirasi rakyat.

Beliau dalam pada itu menyeru jentera parti di peringkat akar umbi agar dapat menguatkan sokongan orang ramai terhadap GPS.

“Lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka semakin hampir, kita harus bersedia apabila semboyan ditiup kelak.

“Jangan kita hiraukan parti luar atau mana-mana pihak yang muncul saat pilihan raya, tetapi ingatlah GPS yang sentiasa ada bersama selama ini,” ujarnya.

Tambahnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengharapkan sokongan penuh rakyat di sini untuk merealisasikan misi ke arah negeri termaju dalam Malaysia menjelang 2030.

Suara Sarawak