KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan pembinaan pusat kanser negeri bagi memastikan usaha tersebut dapat direalisasikan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan daripada Kerajaan Sarawak itu sudah diterima dan beliau akan membuat tindakan susulan tentang perkara tersebut di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan Sarawak sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Pusat Kanser Sarawak dengan pembangunan fizikal dibiayai negeri, manakala kemudahan perubatan serta tenaga kerja di bawah Putrajaya.

“Saya juga akan melakukan tindakan susulan mengenai perkara tersebut untuk melihat ia dapat direalisasikan seperti ketika membina Pusat Jantung Sarawak dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Kempen Kesedaran Saringan Kanser 2023 Peringkat Parlimen Petra Jaya di Klinik Kesihatan Petra Jaya, di sini, hari ini.
Sementara ketika ditanya mengenai hasrat Kerajaan Sarawak memberi pinjaman pendahuluan sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penubuhan pusat itu, katanya beliau tidak mempunyai maklumat terperinci.
“Ia terpulang kepada hasil rundingan. Biar kedua-dua pihak tersebut membuat keputusan untuk melaksanakan apa yang perlu. Kita tidak dapat menjangkakan berapa kos sebelum pelan bangunan, keperluan peralatan dan lain-lain dimuktamadkan,” tambahnya.
Terdahulu pada Januari lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu Sarawak bersedia membina pusat kanser menggunakan dana negeri menjelang akhir tahun ini jika Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan tersebut.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dengan menyediakan peruntukan sekitar RM800 juta bagi membina bangunan.
Usaha ini amat penting kerana sekitar 5,000 kes kanser dilaporkan di Sarawak setiap tahun, jumlah yang membentuk 40 peratus daripada Pusat Kanser Negara, Putrajaya.