Pastikan warga emas terus selamat

KUCHING: Sebanyak 32 daripada 44 pusat jagaan dipantau ketat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak tujuh pusat jagaan warga emas, tujuh pusat jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) dan 18 pusat jagaan kanak-kanak sedang dipantau.

“Kita memantau peranan pihak pengurusan untuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan semasa operasi bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Proses pemantauan melibatkan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) warga emas, penjagaan kebersihan premis dan peralatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Warga Emas Trinity Methodis Church, di sini pada Jumaat.

Jelasnya, objektif lawatan bertujuan melakukan tinjauan Pematuhan Pengoperasian Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Covid-19 Di Pusat Jagaan Warga Emas.

“Warga emas ialah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19 kerana faktor umur juga penyakit kronik.

“Kadar insiden akibat virus berkenaan bagi 100,000 populasi di Malaysia paling tinggi bagi kumpulan berumur 55 sehingga 59 tahun dan 60 sehingga 64 tahun,” katanya.