Pasukan bertindak bantu memudahkan proses pemberian vaksin Covid-19 di seluruh Sarawak

KUCHING: Satu pasukan bertindak akan diwujudkan bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam persediaan kemudahan infrastruktur dan logistik bagi memudahkan proses pemberian vaksin Covid-19 di seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pasukan bertindak itu akan diketuai oleh Datuk Dr Andrew Kiyu dan Datuk Dr Jamilah Hashim serta dibantu oleh JKNS.

“Mereka akan membuat beberapa cadangan berkaitan dengan kemudahan logistik yang diperlukan kepada Kerajaan Sarawak dan menghantar laporan berkenaan dalam tempoh sebulan.

“Kita perlu membuat persediaan rapi dalam pemberian vaksin ini kerana Sarawak mempunyai kawasan yang luas dan banyak kawasan pedalaman serta sukar dilalui yang perlu dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Menurut Uggah, Kerajaan Sarawak menyasarkan 100 peratus rakyat di negeri ini akan menerima vaksin Covid-19 apabila vaksin tersebut tiba nanti.

“Selain keadaan geografi di Sarawak, kemudahan untuk menyimpan vaksin atau Pfizer juga perlu ada.

“Justeru, kita memerlukan pasukan bertindak ini agar kita tidak berada dalam keadaan kelam-kabut apabila vaksin sudah ada di negeri ini,” jelasnya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pemberian vaksin tersebut.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari mengumumkan Kerajaan Sarawak akan memberi vaksin Covid-19 secara percuma kepada rakyatnya setelah pembelian vaksin dilakukan bermula pada tahun depan.

Katanya, vaksin Covid-19 agak mahal kerana menggunakan kontena sejuk beku khas apabila ia dibawa ke Sarawak nanti.