Pasukan dari Mukah jadi juara silat peringkat kebangsaan

MUKAH: Kelab Unit Beruniform Silat (ADMAA) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Seberang, Mukah telah menyertai Pertandingan Silat Seni Sekolah-Sekolah Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Kebangsaan 2019 yang telah diadakan di Kem PLKN Teluk Rubiah, Manjung Perak baru-baru ini.

Menurut Guru Besar Sekolah, Ja’afar Zaini memberitahu Suara Sarawak (SV) semalam bahawa acara yang disertai oleh kontigen dari sekolah ini adalah Tempur Putera Sekolah Rendah, Tempur Puteri Sekolah Rendah Dan Tari Solo Puteri Rendah.

Kata Ja’apar, pelajar di sini yang melibatkan dua murid lelaki dan 2 murid perempuan merangkumi 3 acara bagi melengkapi kontigen Sarawak yang turut diwakili oleh pesilat sekolah Rendah Dan menengah dari bahagian Kuching dan Samarahan.

“Wakil peserta tempur lelaki yang muncul juara ialah Muhammad Iqram Mohamad Murad, 11 tahun dan Yazid Arsyad Musa, 9 tahun. Peserta tempur perempuan ialah Nur khadijah Taha dan Farisya Nadia Bolhi, 11 Tahun. Manakala peserta Tari solo diwakili oleh Farisya Nadia Bolhi.

“Kontigen SK. Kampung Seberang, Mukah dipimpin oleh Ustaz Mohd Firdaus Saad yang merupakan Jurulatih pasukan dan Ustazah Nurul Sakinah Mawaddah Ahmad Marzoki sebagai guru pengiring.

:Inilah dia empat pesilat dari SK.Kampung Seberang,Mukah yang terdiri daripada Muhammad Iqram Mohamad Murad, Yazid Arsyad Musa, Nur khadijah Taha dan Farisya Nadia Bolhi, merakamkan gambar kegembiraan dengan aksi di hadapan Ja’afar Zaini (tengah belakang), Ustaz Mohd Firdaus Saad(kanan belakang) dan Ustazah Nurul Sakinah Mawaddah Ahmad Marzoki

“ADMAA SK. Kampung Seberang, Mukah telah berjaya mengekalkan kejuaraan pada tahun 2018 yang lalu dengan memperoleh pingat Emas bagi acara Tempur Lelaki Rendah dan lebih cemerlang lagi apabila salah seorang pesilat dari sekolah ini telah dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Sekolah Rendah peringkat Kebangsaan 2019.

“Rekod penyertaan SK. Kampung Seberang dalam acara Tempur Sekolah Rendah di peringkat Kebangsaan adalah bermula dari tahun 2014 menduduki Naib Johan, Tahun 2015 menduduki Tempat ke- 3 manakala pada 2018 dan 2019 mendapat kejuaraan.”, Kata Ja’apar lagi.

Tambahnya , murid yang terlibat adalah merupakan peserta baru setiap tahun.

Ustaz Mohd Firdaus Saad yang merupakan jurulatih pasukan juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendididkan Negeri Sarawak di atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili Negeri Sarawak pada kali ini.

Katanya lagi, kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Guru Besar Ja’afar Zaini di atas sokongan padu yang diberikan untuk penyertaan Kali ini sehingga membuahkan kejayaan cemerlang. Sekalung penghargaan buat Abdul Yakub Haji Arbi, Ahli Dewan Undangan Negeri N58 Balingian diatas sokongan dan sumbangan dana yang diberikan kepada pasukan Mukah.

Turut tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada penyumbang dana yang terdiri daripada pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), guru-guru, Ibu bapa, masyarakat dan persendirian yang menyumbang kepada pasukan Mukah.

KAMI JUARA SILAT… Ustaz Mohd Firdaus Saad, jurulatih Silat ADMAA merakamkan gambar bersama anak didiknya selepas upacara penyampaian hadiah kemenangan di Kem PLKN Teluk Rubiah, Manjung Perak.