Trending

Pasukan khas siasat skim rumah ghaib

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri | BERNAMA

KUCHING: Polis Sarawak menubuhkan pasukan khas bagi memastikan siasatan sepenuhnya ke atas kesemua laporan polis berhubung skim tawaran pembinaan rumah tidak wujud oleh sebuah syarikat hartanah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, dua individu di sebalik kes terbabit menyebabkan kerugian sejumlah RM3 juta akan dibicarakan di mahkamah.

“Pertuduhan ke atas kedua-dua suspek dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada Mac yang lalu.

“Perbicaraan kes akan dibuat pada November 2023 di Mahkamah Miri,” katanya semalam.

Pada Isnin, Mohd Azman menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim serta wakil pengadu bagi menyerahkan surat dan dokumen berkaitan bagi kes penipuan pembinaan rumah.

Katanya, Hishamuddin memaklumkan terdapat beberapa laporan polis yang dibuat berhubung penipuan pembinaan rumah di Sarawak oleh sebuah syarikat pelaburan hartanah.

Beliau berkata, modus operandi syarikat terbabit yang telah menjalankan kegiatan sejak 2019 menawarkan tiga skim kepada mangsa.

Tambahnya, kebanyakan mangsa mendapat maklumat dengan melayari Facebook berkenaan tawaran pembinaan rumah daripada syarikat suspek.

“Pertama, suspek menawarkan skim pembinaan rumah di atas tanah sendiri.

Kedua, suspek menawarkan mencari tapak dan membina rumah kepada pembeli.

“Manakala ketiga, suspek menawarkan skim pelaburan berkonsep hartanah dengan meminta mangsa membayar dalam jumlah tertentu dan menjanjikan pulangan dividen,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berminat berjumpa dengan suspek yang kemudiannya memberitahu akan mencari pemaju dan kontraktor untuk membina rumah tersebut.

Jelasnya, mangsa terpedaya membuat bayaran secara tunai dan pemindahan wang kepada akaun bank syarikat suspek.

Katanya, mangsa sedar ditipu setelah mendapati tiada pembinaan oleh syarikat suspek sehingga kini.

Sehubungan itu, Mohd Azman menasihati orang ramai agar tidak melayani tawaran pembinaan rumah di media sosial tanpa semakan kesahihan.

“Beritahulah pasangan, rakan atau ahli keluarga anda mengenai tawaran yang diterima.

“Selain itu, orang ramai turut disarankan agar tidak mudah percaya dengan apa-apa tawaran pembinaan rumah daripada individu atau syarikat yang tidak dikenali.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau syarikat berhubung dengan urusan pembinaan atau pembelian rumah tanpa menyemak kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata, polis sentiasa memberi keutamaan dalam menurunkan kadar jenayah khususnya bagi kes penipuan yang berlaku.

Katanya lagi, penglibatan dan kerjasama dari masyarakat juga sangat penting bagi sama-sama membanteras gejala jenayah penipuan dari terus berleluasa.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru