Pasukan Syamin rangkul juara

PASUKAN Syamin berjaya membawa balik hadiah sejumlah RM2,200 apabila dinobatkan juara dalam Kejohanan MYSS E-Football PES2021 Stay At Home secara dalam talian, semalam.

Pasukan itu diwakili oleh Muhammad Arish Syameer dan Syamin Bahrin untuk mewakili Bahagian Kuching dan Kota Samarahan. Manakala, naib juara dimenangi pasukan Ehsan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,100.

Tempat ketiga dan ke-empat pula dimenangi oleh pasukan Greg dan pasukan Hatta denken habuan RM800 dan RM600.

Bagi kategori individu pula dimenangi oleh George Buma Philip yang berjaya membawa balik wang tunai sebanyak RM1,000.

Manakala, Muhammad Farhan Mat Ripin berjaya membawa balik wang tunai sebanyak RM800 apabila mendapat tempat kedua.

Bagi tempat ketiga dan keempat pula dimenangi oleh Alif Zulhaikal dan Bernard Bidok Jimmy, masing-masing membawa hadiah wang tunai RM800 dan RM300.

Selain itu, tempat kelima sehingga kesepuluh membawa pulang wang tunai sebanyak RM150.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (Sesa) Afiq Fadhli Narawi berkata, kejohanan tersebut adalah usaha sama persatuan bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi melahirkan atlet sukan elektronik yang profesional melalui platform pencarian bakat baharu di peringkat akar umbi.

“Semua peserta telah mempamerkan bakat masing-masing dan telah mengenal pasti bakat baharu daripada kejohanan tersebut untuk diserapkan ke dalam program pembangunan yang dikelolakan oleh Sesa.

“Tambahan pula, permainan Pro Evolution Soccer 2021 (PES2021) adalah salah satu kategori sukan elektronik yang bakal dipertandingkan dalam Sukma 2022 di Johor tahun depan,” katanya. 

Suara Sarawak