Patuh garis panduan solat Jumaat

KUCHING: Umat Islam di Sarawak harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selepas kelonggaran diberikan untuk menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di masjid dan surau. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, jawatankuasa pengurusan masjid dan surau perlu mengikuti SOP selaras dengan garis panduan ditetapkan oleh kerajaan.

Menurutnya, SOP itu menetapkan penjarakan sosial, pendaftaran jemaah, penyediaan pensanitasi tangan dan jemaah hendaklah menggunakan pelitup muka.

“Pekeliling sudah ditetapkan termasuk arahan memendekkan khutbah dan doa selain tidak membenarkan jemaah berkumpul sebelum atau selepas menunaikan solat.

“Kami berharap umat Islam dapat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan kerana ia untuk manfaat bersama,” katanya mengulas mengenai kebenaran menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di surau dan masjid, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata, bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat bergantung kepada kapasiti masjid atau surau. Mengenai kelonggaran untuk menyambut Aidiladha beliau berkata, umat Islam boleh merayakan perayaan tersebut, namun budaya ziarah-menziarahi masih tidak dibenarkan.

“Buat masa ini, kita masih belum mendapat garis panduan tetap mengenai ibadah korban.

“Apa yang pasti garis panduan masih sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu tidak boleh berkumpul dan pengagihan daging korban dihantar terus kepada penerima tanpa perlu mengadakan majlis besar-besaran,” ujarnya.