Patuhi SOP dengan ketat ketika sambutan Tahun Baharu Cina 2021

KUCHING: Masyarakat yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang disarankan oleh kerajaan, tegas Jainal@Zainal Madasin.

Timbalan Pengarah JBPM Sarawak itu berkata, sambutan perayaan tersebut sangat berbeza pada tahun ini tanpa kemeriahan dan aktiviti ziarah secara beramai-ramai seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Hanya keluarga yang terdekat sahaja dibenarkan untuk berkunjung pada hari pertama dan tuan rumah perlu menyediakan alat untuk memeriksa suhu badan, termasuk mencatat maklumat seperti nombor telefon dan sebagainya.

“Kita dapat lihat, SOP yang ditentukan ini jelas sekali membawa kepada perbezaan ketika musim perayaan dan di rumah juga mereka perlu memastikan jarak itu ada untuk keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara ‘Juh Beloya’ sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Tahun Baharu Cina 2021 secara langsung menerusi Facebook Rasmi JBPM Negeri Sarawak, hari ini.

Tambahnya, meskipun pada musim perayaan masyarakat wajib mematuhi SOP dengan baik dan sentiasa ingat tentang prinsip ‘kita jaga kita’.

“Sentiasa berwaspada kerana tiada siapa yang boleh membantu kita dalam menjaga SOP ini melainkan diri kita sendiri.

“SOP daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang ditetapkan juga sangat mudah difahami oleh masyarakat bukan sahaja dewasa tetapi juga kanak-kanak,” tegasnya.

Sebagai rekod, SOP sambutan Tahun Baharu Cina 2021 dan Chap Goh Mei di Sarawak kini boleh didapati di laman sesawang Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (mlgh.sarawak.gov.my).

Suara Sarawak