Patuhi SOP, jangan sebar khabar angin

SARIKEI: Rakyat dinasihati agar tidak panik susulan peningkatan kes Covid-19 yang kembali melonjak di bahagian ini.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, sebagai langkah keselamatan orang ramai perlu mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketika ini katanya, semua pihak perlu memberi kerjasama dan peka dengan keadaan persekitaran mereka.
“Saya berharap rakyat jangan panik. Perketatkan kawalan kendiri kerana virus ini sudah berada dalam komuniti dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja.
“Justeru, semua pihak perlu berwaspada, sentiasa memakai pelitup muka, tingkatkan tahap kebersihan diri bagi memutuskan rantaian penularan pandemik ini,” katanya kepada media ketika meninjau keadaan rakyat di kawasan N.41 Kuala Rajang.
Pada masa yang sama, beliau yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang sepatutnya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei semalam.
Bagaimanapun, perjumpaan itu terpaksa ditangguhkan berikutan laporan kes positif Covid-19 di bahagian ini.
“Walaupun ditangguhkan, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Residen Sarikei ini tetap berfungsi bagi memastikan mana-mana isu yang berkaitan dapat ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan khabar angin dan menghebahkan berita tidak tepat sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk.
“Mereka yang sengaja mereka-reka cerita dan menyebarkan berita yang tidak benar boleh berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.
Semalam Sarikei mencatat 10 kes baharu positif Covid-19.