Patuhi SOP sebelum kembali ke sekolah

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik saranan kerajaan berkaitan SOP yang perlu dipatuhi oleh guru-guru dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang bakal kembali bertugas di Sarawak.

Presiden KGBS Ahmad Malie berkata, tindakan itu merupakan satu langkah yang wajar bagi memastikan kakitangan sekolah bebas dari penularan wabak Covid-19. “Difahamkan semua guru berkaitan disarankan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari berdasarkan lokasi sekolah mereka bertugas setibanya di Sarawak.

“Bagi guru-guru yang bertugas di bandar mereka akan dikuarantin di rumah kediaman masing-masing manakala bagi mereka yang bertugas di kawasan luar bandar atau pedalaman akan dikuarantin di hotel sebelum mrk boleh masuk ke sekolah masingmasing,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya, pelaksanaan SOP kepada pihak sekolah adalah satu langkah yang bijak untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 terutamanya dalam kalangan warga sekolah.

Meskipun kebanyakan sekolah di Sarawak berada dalam dalam kategori hijau, katanya, semua pihak perlu mengambil langkah berjagajaga kerana gejala wabak sukar dikesan dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru, KGBS ingin mengingatkan semua guru yang terlibat untuk akur dan mematuhi SOP berkuarantin yang ditetapkan oleh pihak kerajaan demi kebaikan bersama. “Tindakan ini adalah sebagai sokongan kita dalam usaha menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak sepanjang memerangi rantaian pandemik Covid 19.

“KGBS turut galakkan agar mana-mana guru yang berkaitan untuk maklumkan kepada pihak pentadbir sekolah secara rasmi bahawa mereka sedang menjalani kuarantin bagi mengelakkan kekeliruan dan juga kerisauan pihak PGB sepanjang ketidakhadiran guru ke sekolah.

“Dengan tindakan sedemikian KGBS berharap ia dapat memewujudkan suasana kerja serta persefahaman yang harmoni dalam kalangan warga sekolah,” jelasnya lagi.