Patuhi SOP untuk kebaikan semua

DARO: Kepatuhan peniaga terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Ramadan amat penting dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, usaha melawan pandemik itu wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk mereka yang menjalankan perniagaan dari rumah.

Langkah itu katanya, bukan sahaja melindungi keselamatan diri tetapi juga pelanggan yang berurusan dengan mereka.

“Bazar Ramadan terpaksa dibatalkan berikutan kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan jumlah kes positif Covid-19. Bagaimanapun, peniaga masih dibenarkan menjalankan perniagaan di perkarangan rumah dengan SOP yang ketat.

“Walaupun itu merupakan kesempatan terbaik mereka untuk menambah pendapatan keluarga namun, peraturan mesti dipatuhi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu beliau juga menasihatkan orang ramai supaya terus mempraktikkan norma baharu termasuk menjaga penjarakan sosial dan kebersihan diri.

Melihat pola peningkatan kes baharu, Safiee berkata, pengambilan vaksin adalah sesuatu tindakan yang sangat wajar.

Malah katanya, ia adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan negara boleh bergerak ke hadapan sekali gus mengecapi kemajuan dan kemakmuran.

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya masyarakat di Daro untuk mengambil vaksin Covid-19 ini demi keselamatan dan kesihatan kita bersama,” katanya.

“Semoga usahakan kita semua mencari rezeki sepanjang Ramadan ini sentiasa dipermudahkan dan mari kita terus bersama berganding bahu membendung penularan wabak Covid-19 kerana sesungguhnya perjuangan kita belum selesai,” ujarnya.

Suara Sarawak