Paul dapat lampu hijau

PENYERANG baharu, Paul Sambang, 29, menarik nafas lega setelah mendapat pelepasan daripada majikannya, untuk menyertai pasukan Kuching FA yang akan bersaing dalam Liga Premier 2020.

Paul bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sentosa, Kuching.

“Saya mendapat pelepasan kerana melepasi syarat iaitu telah pun berkhidmat selama lima tahun,” kata Paul kepada Suara Sarawak.

“Lagi pula saya telah pun membuat permohonan awal.

“Sebelum ini saya pernah mendapat tawaran Kuching FA untuk bersaing dalam Liga M3, namun terpaksa menolak kerana belum cukup tempoh perkhidmatan,” ujar Paul.

Selain beraksi sebagai penyerang, Paul juga mampu bermain di posisi tengah, sayap kiri dan sayap kanan.
Sepanjang kerjaya di peringkat tempatan dia pernah menyertai pasukan Yayasan Sarawak, Brooke Dockyard, Finexsys dan terkini Kasika CF.

Paul merupakan penjaring terbanyak Liga Kuching LSC 2019.

Petang esok dia akan mengemudi jentera serangan Kasika CF menentang KSK Satok dalam Kejohanan Piala Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Paul merupakan antara tujuh muka baharu yang ditambat Kuching FA bagi menambah kekuatan pasukan.

Tiga lagi pemain tempatan yang diambil ialah Tommy Mawat, Affy Shahrul Afendi dan Andy Nicholas
Nipen.

Manakala tiga lagi slot akan diisi pemain import asing.