PBB N.43 Daro bincang persiapan Jerayawara GPS

DARO: Seramai 48 orang ahli Parti PBB N.43 Cawangan Daro menghadiri majlis perjumpaan bagi membincangkan persiapan menjelang Jerayawara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan majlis pecah tanah Jambatan Muara Lassa pada 8 September depan.

Mereka terdiri daripada Exco dan Ketua Ranting, Wanita dan Pemuda PBB Cawangan N.43 Daro. Sesi taklimat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat N.43 Daro itu disampaikan ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad.

Hadir sama, Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Program bersejarah itu dijangka dihadiri lebih 6,000 penduduk manakala majlis perasmiannya pula bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi dalam kenyataannya baru-baru ini memberitahu, jawatankuasa penganjur program membuat persiapan rapi bagi membolehkan program berkenaan berjalan lancar mengikut perancangan.

“Kita membuat persediaan rapi selain mendapat laporan yang agak lengkap daripada semua jawatankuasa yang terdiri daripada jabatan dan agensi yang berkaitan di bahagian Mukah,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran majlis tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan kemudahan untuk rakyat khususnya di kawasan pesisir.

Menurutnya, jambatan Muara Lassa sepanjang 2.43 kilometer dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan kos RM597.58 juta merupakan pelengkap jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak.

Selain perasmian Jambatan Muara Lassa katanya, jawatankuasa juga menyentuh mengenai majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka diadakan pada awal tahun depan.

Safiee menyampaikan penerangan kepada ahli yang hadir.

 

Perjumpaan bertujuan memastikan persiapan program berjalan lancar

 

Ahmad Johnie turut menyampaikan taklimat