KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai mengambil inisiatif menubuhkan sayap baharu khas untuk belia berusia 18 hingga 28 tahun.
Naib Presiden PBB yang juga Ketua PBB Cawangan Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai anak muda terlibat dengan politik dan menjadi pemimpin.
“Ia juga penting untuk memastikan kita dapat menggerakkan generasi muda terlibat dalam PBB serta menjayakan program yang berkaitan dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Dr Abdul Rahman menggesa belia yang berusia 18 hingga 28 tahun mendaftar sebagai ahli PBB.
“Kita akan mengadakan program pendaftaran selepas ini untuk memastikan mereka dapat mendaftar sekaligus terlibat dengan sebarang aktiviti yang berkaitan,” ujarnya.
