KUCHING: Parti Bangsa Malaysia (PBM) kini dalam proses penyusunan semula, kata presidennya Datuk Larry Sng.
Menurutnya, ia termasuk mewujudkan beberapa bahagian baharu, manakala beberapa bahagian lain telah luput pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Bagi bahagian baharu yang sebelum ini ditubuhkan tetapi telah luput dalam penyerahan minit mesyuarat mereka, bahagian tersebut tidak akan diaktifkan semula buat masa ini,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya, hari ini.
Tambahnya, walaupun pengumuman mengatakan beberapa bahagian PBM di Pahang dan Selayang dibubarkan baru-baru ini, namun sebarang pembubaran bahagian parti hanya boleh dilakukan oleh Ibu Pejabat PBM selepas berunding dengan pihak berkuasa berkenaan.
“Sementara bahagian-bahagian lain parti yang telah didaftarkan, ia akan kekal sehingga akhir tahun ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Julau itu memberitahu PBM di Kelantan dan Terengganu, kedua-duanya telah berjaya disusun semula.
“Manakala senarai nama pengerusi baharu PBM di kedua-dua negeri tersebut telah dihantar kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) secara bertulis, di peringkat negeri.
“PBM Sarawak pula kekal utuh. Bagi Perlis dan Pahang, pihak parti tidak akan mengaktifkan semula mana-mana bahagian di sana buat masa ini,” jelasnya.
Tegasnya, negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah hendaklah terlibat dan disusun semula dengan sewajarnya selepas Tahun Baharu Cina (TBC).