PBSM Sarawak pinjamkan 20 kerusi roda untuk kegunaan warga emas di lokasi vaksinasi
KUCHING: Lebih banyak kerusi roda akan disediakan untuk warga emas dan individu yang mempunyai masalah fizikal yang hadir menerima vaksin Covid-19 di Stadium Tertutup Kuching.
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), cawangan Sarawak telah tampil untuk memberikan bantuan tersebut.
Pengarahnya, Chai King Sing berkata, PBSM akan meminjamkan sebanyak 20 kerusi roda untuk membantu mereka di tempat tersebut.
King Sing pada hari ini telah menyampaikan sebanyak lima buah kerusi roda pertama.
Simbolik penyerahan kerusi roda tersebut diterima oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Dougas Uggah Embas.
Uggah telah mengadakan lawatan di Stadium Tertutup Kuching setiap hari untuk memeriksa kemajuan vaksinasi.