PBT digesa bantu orang ramai daftar vaksinasi

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan disarankan untuk aktif turun padang bagi mendaftar lebih ramai penduduk untuk menerima vaksin Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata pihak berkuasa tempatan yang lain boleh mengikuti contoh yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang turun padang untuk membantu orang ramai mendaftar untuk divaksin.

Jelas beliau, meskipun setengah dari populasi di negeri telah mendaftar untuk menerima vaksin namun begitu tidak semua penduduk tahu bagaimana untuk mendaftar untuk menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Lantaran itu, kata Kuh Hian, pendaftaran orang ramai untuk menerima vaksin dipergiatkan melalui peranan pemimpin masyarakat yang membantu dan mendidik orang ramai untuk mendaftar melalui MySejahtera khususnya di kawasan kampung.

“Dalam masa yang sama juga, pejabat residen dan daerah juga telah diberikan arahan dan telah mula mengutip maklumat orang ramai di kawasan kampung.

“Bagi kawasan bandar, pendaftaran dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan seperti di pasar dan di pelbagai tempat awam agar kita dapat tahu berapa ramai yang ingin divaksin,” katanya pada pemberita semasa menghadiri pendaftaran vaksin Covid-19 yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Pasar Batu 7, Kota Sentosa, di sini hari ini.

Suara Sarawak