ARTIKEL

SAMPAIKAN AMANAT... Dr Sim membacakan teks ucapan Premier pada majlis itu. | Foto: PENERANGAN

PCDS 2030 perlu digerakkan secara bersama, kata Premier

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 memerlukan kerjasama kerajaan, masyarakat sivil, organisasi keagamaan dan seluruh rakyat bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat dinikmati secara inklusif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata visi pembangunan Sarawak bukan sekadar membina ekonomi yang maju, tetapi turut mewujudkan masyarakat inklusif yang memberi ruang kepada setiap komuniti untuk berkembang dan menyumbang kepada masa depan negeri.

“Pembangunan yang dirancang perlu mengambil kira keperluan masyarakat serta memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk memainkan peranan dalam pembangunan bersama.”

“Untuk mencapai visi ini, kita semua, kerajaan, masyarakat sivil, organisasi keagamaan dan setiap rakyat perlu bekerjasama dalam semangat muafakat serta tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pada Majlis Makan Malam Sambutan Naw-Ruz dan Ulang Tahun ke-75 Komuniti Bahá’í Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Pada masa sama, Abang Johari memberitahu kekuatan masyarakat serta nilai yang menyatukan rakyat merupakan elemen penting dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi makna kepada kehidupan rakyat.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh keluarga, membina komuniti yang berdaya tahan, memupuk sifat prihatin dan membuka peluang kepada semua golongan.

Beliau berkata pendekatan itu juga penting dalam memastikan Sarawak terus bergerak ke arah pembangunan yang mampan, inklusif dan seimbang selaras dengan aspirasi PCDS 2030.

Tambahnya, usaha membangunkan negeri tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan keagamaan dan komuniti.

Selain itu, Abang Johari berkata sumbangan setiap komuniti dalam aspek pendidikan, pembangunan moral, khidmat masyarakat dan kerja sukarela dapat membantu memperkukuh kesejahteraan sosial serta perpaduan rakyat.

Justeru, beliau mengajak rakyat Sarawak meneruskan kerjasama dalam membina negeri yang makmur, inklusif, mampan dan bersatu, selaras dengan hala tuju pembangunan negeri serta arah pembangunan nasional menerusi Rancangan Malaysia Ke-13.

“Marilah kita terus membina Sarawak yang menghormati kepelbagaian, memperkasa komuniti dan memberi peluang kepada setiap individu untuk menyumbang kepada masa depan bersama,” ujarnya.

Beliau berkata ulang tahun ke-75 Komuniti Bahá’í Sarawak bukan sahaja menjadi kesempatan untuk mengenang sumbangan tujuh dekad setengah yang lalu, malah menjadi titik tolak untuk memperbaharui komitmen terhadap usaha memperkukuh perpaduan, persahabatan, persefahaman dan keharmonian.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap sambutan Naw-Ruz dan ulang tahun berkenaan dapat memperkukuh iltizam Komuniti Bahá’í Sarawak untuk terus berkhidmat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU