BINTULU: Gabungan muka baharu dan lama dalam barisan pucuk pimpinan tertinggi Parti Demokratik Progresif (PDP) membuktikan parti itu mengalu-alukan kehadiran pemimpin muda, kata Timbalan Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep.
Menurutnya, setiap parti harus mempunyai pendirian untuk menggabungkan pengalaman pemimpin lama dengan pemimpin baru, termasuk pemuda dan wanita yang mana kombinasi tenaga mereka ini bertujuan memperkuatkan parti.
“Saya yakin bahawa dalam suasana politik sekarang, terdapat banyak kehadiran dari kalangan generasi muda.
“Seperti Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP pada kali ini, terdapat ramai wakil dan pemerhati muda yang mengambil bahagian buat kali pertama.
Kita boleh lihat mereka penuh semangat yang ingin kita pupuk dan manfaatkan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, di sini, hari ini.
Ujarnya juga, usaha ini memberikan suntikan idea dan perancangan baru sekali gus mencipta satu gabungan parti yang kukuh.
Menyokong usaha ini juga, Jinep menyatakan bahawa PDP juga bakal menganjurkan pelbagai program khususnya di kawasan tanpa wakil rakyat untuk melibatkan diri dengan ahli parti.
Beliau berkata program ini akan menjadi platform kepada ahli parti untuk memberikan pandangan dan mengemukakan sebarang isu kepada pemimpin tertinggi.
“Kami mahu memastikan ahli parti akar umbi tahu bahawa mereka berharga, suara mereka penting dan akan didengari,” katanya lagi.