PdPR: Pastikan pelajar tidak tercicir

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menegaskan bahawa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak semestinya bergantung kepada capaian Internet semata-mata.

Presidennya Ahmad Malie berkata, PdPR adalah satu usaha yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan guru-guru terus melaksanakan proses pembelajaran murid-murid sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat di seluruh negara.

“KGBS menyokong penegasan KPM bahawa PdPR ini boleh menggunakan kaedah yang lain dan sesuai dengan lokasi murid-murid berkenaan. “Antara contoh yang dicadangkan oleh KPM ialah menggunakan buku teks, kertas lembaran kerja dan kaedah lain yang difikirkan sesuai oleh guru-guru,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambah beliau, KGBS turut mengalualukan siaran TV Pendidikan yang disediakan oleh KPM sebagai medium untuk membantu pelaksanaan PdPR ini. “Usaha ini adalah untuk memastikan murid-murid tidak tercicir menerima pendidikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, KGBS turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan PdPR ini adalah wujudnya kerjasama yang erat antara guru dan ibu bapa.

“Justeru itu, untuk memastikan pelaksanaan PdPR berjaya, penting bagi ibu bapa dan guru berkomunikasi secara positif malah saya juga berharap semua pihak harus memahami situasi yang kita alami sekarang dan tidak kita jangkakan sebelum ini.

“KPM bersama-sama guru sebagai pelaksana dasarnya telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk memastikan sistem pendidikan terus berfungsi walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” jelasnya.

Sementara itu, sebagai usaha untuk menangani isu murid-murid yang tidak mampu memiliki peranti pembelajaran, Ahmad Malie mencadangkan agar kerajaan melalui KPM mewujudkan skim pinjaman peranti seperti pelaksanaan skim pinjaman buku teks bagi murid-murid yang layak di sekolah yang mempunyai capaian Internet sebagai program permulaan.

Dengan kaedah ini, sekurang-kurangnya semua murid di sekolah yang mempunyai capaian Internet yang baik dapat mengikuti PdPR secara dalam talian.

Dalam pada itu, KGBS juga menggesa kerajaan melalui KPM menyegerakan usaha menaik taraf capaian Internet di semua sekolah di seluruh negara.

“KGBS menekankan agar usaha menaik taraf Internet di semua sekolah sebagai agenda utama demi memastikan kualiti pendidikan di negara ini tidak boleh dikompromi,” katanya.

Suara Sarawak