PdPR perlukan sistem baharu

KUCHING: Sudah tiba masanya model baharu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan daripada ia sekadar memenuhi tugas dan tanggungjawab menjalankan aktiviti persekolahan semata-mata, kata Penolong Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Katanya, amat dikhuatiri jika tidak dilakukan sesuatu yang drastik bagi mengolah mekanisme atau model baharu PdPR yang menyeluruh melangkaui pengajaran dan melakukan kerja rumah sahaja, generasi baharu yang bakal dihasilkan nanti sudah pasti tidak berupaya untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan dan alam pekerjaan.

“Sebaliknya, jika dilihat dari perspektif yang lebih serius, ia amat membimbangkan.  “Dikhuatiri, minat dan fokus pelajaran yang sepatutnya tersemat dan disemai di dalam usia kanak-kanak akan hanyut dan lenyap begitu sahaja. Ini sudah pasti akan memberikan impak yang besar kepada negara dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohd Fadzil, setakat ini, belum ada kelihatan mana-mana model diketengahkan yang boleh diangkat sebagai rujukan dalam melaksanakan kaedah PdPR yang benar-benar efektif.

“Ya, kalau sekadar untuk memastikan persekolahan diteruskan melalui PdPR bagi menghabiskan silibus mata pelajaran dan menduduki peperiksaan, itu mungkin boleh dilaksanakan.

“Namun, jika diambil hanya dari sudut akademik sematamata, ia juga tidak akan dapat memberikan apa-apa kesan jika hanya guru-guru sahaja yang diharapkan untuk mendidik,” katanya.

Fadzil berkata dalam era PdPR ini, peranan ibu bapa dan penjaga di rumah adalah jauh lebih utama dan perlu dilipatgandakan berbanding sebelum ini.   Katanya ia kerana agak sukar untuk guru memastikan kerja rumah dan tugasan yang diberikan dapat disiapkan oleh pelajar.

“Suasana pembelajaran di rumah dan di sekolah sememangnya sangat ketara dan banyak memberikan kesan disebabkan soal tumpuan, gangguan di rumah, gangguan Internet yang panjang dan rasa lebih bebas kerana tidak dikawal atau dipantau guru berbanding di sekolah.

“Malah yang lebih membimbangkan jika pelajar merasakan pembelajaran secara PdPR ini seolah-olah berada dalam musim cuti sekolah.  “Akibatnya sesi PdPR diambil mudah tanpa memberikan kesan atau meninggalkan hasil seperti mana diharapkan,” katanya.

Suara Sarawak