PdPR: Ramai pelajar di kawasan luar bandar terjejas

KUCHING: Keperluan pendidikan perlu diberi tindakan segera selain isu kesihatan dan ekonomi ketika pandemik Covid-19. Timbalan Presiden Persatuan Suara Pengguna Sarawak (Covas) Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) misalnya telah mencetuskan pelbagai polemik.
Katanya, isu utama dalam PdPR seperti kelemahan liputan Internet dan pemilikan alat telekomunikasi seperti telefon bimbit atau komputer riba bagi pelajar.
Menjelas lanjut beliau berkata, isu tersebut telah menjejaskan ramai pelajar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman menyebabkan mereka ketinggalan, terjejas atau tidak dapat mengikuti PdPR.
Sehubungan itu beliau berkata, Covas mencadangkan Kerajaan Sarawak menyediakan e-buku kepada pelajar yang terjejas bagi memudahkan mereka mengikuti PdPR.
“Ibu bapa daripada kumpulan B40 dan M40 perlu dibantu segera… kecemerlangan pendidikan menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dan begitu juga harapan ibu bapa untuk melihat kejayaan anak-anak mereka,” katanya yang dihubungi baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah turut menyifatkan kesukaran untuk mendapatkan alat telekomunikasi akan mengakibatkan pelajar tercicir daripada proses pembelajaran bersama-sama guru.
“Di Sarawak terdapat banyak sekolah yang terletak di kawasan pedalaman. Masalah PdPR sememangnya dirasai dan ini telah memberi tekanan kepada guru, pelajar dan ibu bapa,” katanya.
Malah katanya, guru turut berasa kecewa kerana bahan pembelajaran tidak dapat disampaikan kepada pelajar. Justeru katanya, STU berharap kerajaan serta pihak yang berkemampuan dapat membantu membuat perancangan segera sebagai usaha memberi peluang kepada pelajar meneruskan pendidikan mereka semasa pandemik ini.
“Bagi ibu bapa yang tinggal di pedalaman dengan sumber pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyokong proses PdPR, sudah tentu harapan terhadap bantuan kerajaan dan sesiapa pun sangatlah tinggi kerana mereka tidak berdaya untuk membantu anak-anak yang ingin belajar,” katanya.