PDRM kawal orang ramai ketika berurusan di BSN di Bintulu

BINTULU: PDRM Bintulu sentiasa bersiapsiaga dalam mengawal orang ramai yang berurusan di Bank Simpanan Nasional(BSN) Cawangan Bintulu bagi urusan pengeluaran BPN, BSH dan Bantuan Sarawakku Sayang di kaunter bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak bank terbabit bagi memastikan kelancaran serta kepatuhan orang ramai semasa berurusan.

Dalam perjumpaan itu semalam(Jumaat) katanya, PDRM Bintulu diwakili Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti manakala pihak BSN pula diwakili sendiri pengurusnya, Jeclyn Anak Bulan.

Pada sesi perjumpaan dan perbincangan itu, kita(polis) meminta pihak bank memastikan orang ramai mematuhi penjarakkan sosial, penggunaan topeng mulut, penyediaan cecair sanitasi di kaunter BSN , menghadkan bilangan pelanggan dalam satu masa di kaunter seramai lima orang,ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, pihak polis dengan kerjasama ATM dan dibantu Polis Bantuan BSN dan RELA Bintulu juga akan memantau situasi tersebut dalam memastikan orang ramai yang berurusan di bank berkenaan mematuhi arahan.

Dalam memastikan kepatuhan ini orang ramai hendaklah memberi kerjasama yang penuh kepada Pihak penguatkuasa memastikan tahap pematuhan di bawah PKP ini dipatuhi dalam usaha kita memutuskan penularan Covid19, tambahnya.

Urusan tersebut bukan hanya hari ini, tetapi juga boleh di waktu lain bagi mengelakkan kesesakan di BSN di samping kita mengekang penularan wabak Covid19,tegasnya.

Sehubungan itu , Zulkipli berharap orang ramai yang berurusan memastikan tahap kepatuhan yang tinggi.

Sementara itu, seawal jam 8 pagi, keadaan sesak dengan orang ramai berbaris panjang bermula dari pusat beli belah City Point Bintulu hingga luar BSN Cawangan Bintulu bagi urusan pengeluaran BPN, bantuan Sarawakku Sayang.

Difahamkan, penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang tidak mempunyai akaun bank boleh menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai hari ini sehingga 31 Disember 2020.