PDRM laksanakan sekatan pergerakan di lapan rumah panjang di Sibu

SIBU: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat sekatan pergerakan di lapan rumah panjang pada jam 11.30 malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dalam satu kenyataan memberitahu ia susulan pengesanan 37 kes positif Covid-19 di Rumah Langi Pasai Siong di sini semalam.
“Kes positif berkenaan dikesan melalui hasil saringan kes seorang perempuan yang balik dari Johor (Kes 1175) pada 29 Disember 2020.
“Sehubungan itu, makanan dan Kemudahan Kesihatan akan diberi kepada lapan rumah panjang yang terlibat dalam sekatan jalan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan kepada 74 orang penduduk di Rumah Langi pada 7 Januari lalu dan keputusan pada 8 Januari mendapati seramai 37 kes positif
telah dikesan.
“Justeru, bermula semalam, semua penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sibu dari luar Sarawak telah menjalankan kuarantin wajib di hotel.
“Sebelum ini, kita menghadapi masalah untuk mendapatkan bilik-bilik hotel sebagai pusat kuarantin,” jelasnya.
Tambahnya, oleh demikian, tindakan awal telah diambil untuk mengehadkan penerbangan masuk ke Sibu mulai esok (10 Januari 2021) dengan hanya
dua penerbangan dari Kuala Lumpur setiap minggu dibenarkan untuk masuk ke Sibu.
“Kita juga telah menghantar penumpang-penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sibu dari luar Sarawak
untuk dikuarantinkan di pusat kuarantin di bahagian masing-masing iaitu di Betong, Sarikei, Mukah dan Kapit.
“Penerbangan dari Johor Baharu dan Kota Kinabalu masing-masing ke Sibu juga turut dibatalkan mulai esok (10 Januari 2021),” ujarnya.
Beliau memberitahu, sebarang kelulusan untuk mengadakan apa-apa acara atau program perhimpunan awam yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu sebelum ini ditarik balik
dengan serta merta.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu meminta sesiapa yang telah menghadiri upacara pengkebumian di Rumah Langi, Pasai Siong pada 29 Disember 2020 hingga 31 Disember 2020 diminta untuk hadir membuat pemeriksaan dan saringan di Klinik Kesihatan Jalan Lanang atau Klinik Kesihatan Sibu Jaya.
“Warga Sibu dinasihati untuk sentiasa mematuhi SOP dan berada di rumah sekiranya tiada urusan yang penting,” katanya.