KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat persediaan rapi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, PRN Sarawak kali ini berbeza berbanding sebelum ini kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ekoran pandemik Covid-19.
Beliau berkata, PDRM Kontinjen Sarawak mempunyai anggota mencukupi dengan seramai 7,000 yang bersedia untuk menjalankan tugas untuk pilihan raya.
“Dari segi sumber manusia, memang mencukupi dan jika perlukan tambahan anggota, kita akan tambah. “PDRM Kontinjen Sarawak juga mengadakan perbincangan dan mesyuarat. Kita bersedia dan bersiap siaga melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada asnaf dan pesara polis di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini pada Selasa. Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dan timbalannya, Datuk Mancha Ata.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, PDRM juga mempersiapkan anggota dengan prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Prn Sarawak kelak.
Sehubungan itu, katanya, PDRM akan melaksanakan, mematuhi dan menguatkuasakan perkara berkaitan SOP yang ditetapkan melibatkan PRN. Justeru beliau berharap orang ramai serta pengundi mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar Prn Sarawak dapat berjalan dengan lancar.
“Kita berharap mereka mengikuti SOP tersebut dan memudahkan PRN dijalankan,” katanya. Terdahulu, tempoh penggal Dun Sarawak berakhir pada 6 Jun lalu namun ditangguhkan pembubaran Dun berikutan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.