
PADAWAN: Polis berjaya menangkap seorang penjenayah tegar yang menyamar sebagai pegawai imigresen ketika merompak sepasang suami isteri warga Indonesia di sebuah tapak pembinaan di Jalan Arang, di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki itu dicekup di hadapan sebuah kedai di belakang Premier Food Republic, Batu Kawa kira-kira jam 11.10 malam, 3 Januari lalu.
Katanya tangkapan ke atas suspek dibuat susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada jam 11.37 pagi, 3 Januari lalu.

“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Tapah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Menurutnya, penganggur berusia 32 tahun itu didapati mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Terdahulu, Abang Zainal berkata berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa, suspek bersama-sama seorang lagi rakannya datang ke bilik yang didiami pasangan suami isteri itu di sebuah tapak pembinaan di Jalan Arang, dengan mengatakan mereka dari Jabatan Imigresen.
Jelasnya, kedua-dua suspek kemudian memaksa mangsa untuk mengeluarkan barang dan permit.
“Semasa pengadu (wanita warga Indonesia) mahu menakutkan suspek dengan memberitahu suaminya di mana tempatnya meletakkan parang, kedua-dua suspek terus melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Saga berwarna coklat dan turut membawa permit kerja serta dua telefon bimbit milik mangsa.
“Bagaimanapun, telefon bimbit salah seorang suspek kemudian tercicir ketika melarikan diri,” katanya.
Justeru, Abang Zainal berkata pihaknya kini masih memburu seorang lagi suspek.