Pegawai polis diminta jalankan tugas dengan amanah

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof meminta pegawai polis di negeri ini, menjalankan tugas masing-masing sebaiknya mengikut jawatan yang diamanahkan pucuk pimpinan polis kepada mereka.

“Kita (pegawai polis) sama-sama kena buat kerja seperti amanah yang diberikan (pucuk pimpinan polis), kalau sebagai OCPD ( Ketua Polis Daerah) pada peringkat kamulah sebagai OCPD, kalau tangungjawab sebagai Ketua Jabatan, pada peringkat kamulah sebagai Ketua Jabatan,” katanya di upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin, di sini, semalam.

Azman Yusof  berkata ini termasuk juga jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dan yakin Datuk Dev Kumar M.M Sree  mampu menjalankan tugas jawatan sebaiknya, kerana berpengalaman sebanyak tiga kali ditugaskan di negeri ini.

Di upacara terbabit Datuk Dev Kumar M.M Sree yang sebelum ini Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, mengantikan Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Mohd Dzuraidi pula akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sementara itu, Dev Kumar berkata beliau kali pertama ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenyayah di Balai Polis Sentral di bandar raya ini pada 1982 dan menjalankan tugas itu selama tujuh tahun sebelum ditugaskan di Semenanjung.

“Kali kedua pada 2015 dimana saya telah ditukarkan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak. Saya memikul jawatan ini selama tiga tahun sebelum menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman,” katanya yang menjawat jawatan itu selama satu  tahun dua bulan, sebelum ditugaskan kembali ke Sarawak untuk kali ketiga.

Dev Kumar berkata beliau selepas ini akan memberikan dua fokus di Sarawak iaitu pertama integriti anggota dan pegawai polis, dan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat di negeri ini.