Peka dengan ramalan cuaca sebelum melakukan aktiviti di laut

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa berwaspada dan peka mengenai ramalan cuaca sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata komuniti maritim terutama nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong dan penumpang perlu mengambil berat tentang keselamatan semasa di laut bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta terjamin.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dari timur laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak yang boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sarawak.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Pihak Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada pengusaha-pengusaha bot pelancong, bot penumpang dan bot nelayan untuk sama-sama meningkatkan keselamatan di laut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang awam supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544 atau mers 999 yang beroperasi 24 jam jika terdapat sebarang kejadian kecemasan berlaku di laut.