Peka perubahan diri bantu tangani bunuh diri

LEBIH ramai orang maut akibat membunuh diri daripada maut akibat Covid-19 pada 2020.

Baru-baru ini kita dikejutkan kes cubaan bunuh diri dengan terjun di Bypass Rawang iaitu jambatan tertinggi di Malaysia, namun mangsa berjaya dipujuk.

Data terbaharu melibatkan Rusia dengan 45,000 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun sama, Jepun 21,000 kes, Korea Selatan 13,000 kes dan Malaysia 226 kes.

Menurut laporan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), Malaysia berada di kedudukan 123, yang menyaksikan kes bunuh diri naik mendadak, melonjak 20 peratus pada 2020, berbanding tahun sebelumnya.

Kebanyakan kes disebabkan tekanan kewangan dan hutang akibat hilang sumber pendapatan, hilang kerja, perniagaan muflis, tertekan kerana fikiran buntu dan melihat tiada lagi jalan keluar.

Andai ada kenalan atau keluarga kita yang mempunyai ciri-ciri depresi, bantulah emosi mereka.

Perut lapar tidak menyakitkan mereka, tetapi oleh kerana tiada jalan keluar daripada masalah, maka mereka mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Ingatlah harta sentiasa boleh dicari.

Semalam kita kaya, apa salahnya esok kita miskin.

Mungkin lusa kita kaya semula.

Dan begitulah seterusnya.

Pada awalnya mengalami kemurungan, perubahan sikap secara mendadak dan akhirnya mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Cubaan bunuh diri amat serius meskipun ada dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan daripada membiarkan nyawa mereka melayang secara sia-sia.

Apabila melihat kepada kes cubaan membunuh diri lazimnya mangsa lebih kepada berbelah bahagi, untuk membunuh diri atau sebaliknya.

Dengan kata lain, kita perlu menyelami perasaan mereka.

Jadi kalau kita boleh menyelami permasalahan mereka itu, dapat memujuk mereka, dapat membawa mereka melihat semula keputusan yang mereka hendak buat.

Bunuh diri ini betul atau tidak.

Selalunya mangsa ini akan tone down, mengubah keputusan dan dapat diselamatkan dengan kaedah yang tidak memerlukan kekerasan.

Mengenai peratusan kelompok paling besar dalam cubaan membunuh diri, kebanyakan mangsa merupakan golongan tenaga kerja aktif iaitu dalam lingkungan usia 16 hingga 60 tahun.

Oleh itu masyarakat kadangkala perlu peka dengan perubahan seseorang individu terutamanya pada masa ini ramai yang kehilangan pekerjaan, syarikat tidak mampu bertahan, sekali gus menjurus ke arah perubahan diri mangsa.

Jadi apabila berlaku perubahan diri ini, selalunya mangsa lebih kepada mahu bercerita tentang permasalahan itu.

Jadi sebagai anggota masyarakat, tidak salah jika apabila seseorang itu bermasalah kita luangkan masa mendengar dan pada masa yang sama menasihati mereka.

Justeru, masyarakat harus memberi sokongan kepada mangsa-mangsa dan yakinkan mereka bahawa bukan satu dosa atau kesalahan untuk mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga. Mulakan langkah dan hentikan stigma.

Kita semua boleh mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih bermakna. Bunuh diri bukan jalan penyelesaian kepada masalah dan kalau ada masalah depresi, segera dapatkan bantuan.

Dan kalau ada orang terdekat dengan kita yang menghadapi tekanan emosi, bantulah mereka, jangan dibiarkan.

Sedih apabila melihat ada kes orang bunuh diri, masyarakat kecam dengan pelbagai tohmahan.

Belajarlah untuk memiliki empati.