KUCHING: Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah merangka strategi bagi menjamin pengeluaran lada secara mampan, antaranya dengan menggalakkan pekebun menanam lada secara komersil iaitu 1,000 pokok ke atas bagi setiap penanam.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata berdasarkan purata harga lada sehingga 31 Ogos 2023, pulangan bersih pekebun lada boleh mencapai sehingga RM2,417.33 sebulan bagi setiap 1,000 pokok yang ditanam.
“Purata harga lada hitam per tan adalah sebanyak RM14,225 manakala purata harga lada putih ialah RM24,071 per tan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru untuk menyokong usaha itu, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah meningkatkan had dan nilai bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 per hektar dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada RM25,000 per hektar.
“Ini bagi mengurangkan beban pekebun akibat daripada kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain,” katanya.
Selain itu, beliau berkata bagi memastikan kemampanan industri lada, MPB juga menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam penanaman lada seperti pertanian pintar yang akan menggalakkan penanaman lada secara komersil.
“Teknologi Internet Benda (IoT) dan produk IPDM yang dibangunkan oleh MPB disasarkan akan meningkatkan produktiviti lada sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta bagi menceburkan diri dalam penanaman lada secara komersial.