MUKAH: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Mukah – Oya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa, Khusairy Hussein, 43 yang merupakan seorang pekebun disahkan maut dalam kemalangan sekitar jam 4.20 petang itu.
“Siasatan awal mendapati bahawa kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Ativa yang bergerak lurus dari arah bandar Mukah telah melanggar kereta yang dinaiki mangsa dan isterinya.
“Ia susulan kereta dinaiki pasangan tersebut yang bergerak bertentangan dari arah Oya, secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ujarnya, ketika kejadian kenderaan pasangan tersebut dipandu oleh isteri mangsa.

“Akibat kemalangan itu mangsa yang cedera parah di badan telah disahkan meninggal dunia pada jam 5.34 petang oleh pegawai perubatan di Hospital Mukah.
“Isterinya, 43, pula mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri,” jelasnya.
Sementara itu katanya, pemandu Perodua Ativa cedera parah di kaki kanan dan penumpang yang merupakan ibu pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mukah untuk menerima rawatan,” jelasnya.
Tambahnya, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.