PEKEMA hulur bantuan untuk SK Abang Leman Kabong

KUCHING: Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak menghulurkan bantuan berupa alatan keperluan sekolah kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong di sini hari ini.

Seramai 602 murid menerima sumbangan berupa beg sekolah dan juga sejumlah wang tunai yang disampaikan oleh Presiden Yayasan PEKEMA , Tan Sri Abang Haji Khalid Tan Sri Datuk Amar Abang Marzuki.

Turut diserahkan pada majlis itu sumbangan untuk SK. Spaoh dan SK. Saint Barnabas Debak.

Tan Sri Khalid dalam ucapannya berkata penyerahan bantuan peralatan sekolah sedemikian merupakan acara tahunan yayasan berkenaan untuk sekolah di kawasan bandar dan juga luar bandar.

“Ini merupakan Insiatif PEKEMA yang menepati objektif bagi mendekati anak-anak sekolah yang kurang berkemampuan dan kurang upaya di negeri ini.

“Dengan bantuan sebegini kita harap akan dapat membangkit minat murid untuk belajar. Nilainya mungkin kecil tapi ia diharap dapat melahirkan pelajar cemerlang dan berjaya sebagai aset untuk nusa dan bangsa.

“Sejak dari tahun 2010 sampai kini kita bergerak menyalur sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada yang memerlukan.Ini termasuk untuk mereka yang sakit dan juga yang terlibat dengan bencana.

Beliau seterusnya menyampaikan sumbangan untuk sekolah daripada Pekema sebanyak RM5000. 00 dan sumbangan peribadi beliau sebanyak RM5000.00.

Tambah Khalid Pekema menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun lalu melakukan bantuan merangkumi pembiayaan kos rawatan dan perubatan, pesakit kurang mampu dan mangsa bencana alam.

Antara lain katanya, termasuklah sumbangan kepada ibu tunggal, fakir miskin dan pendidikan.

Dan Sepanjang tahun 2018 PEKEMA telah memberi sumbangan berjumlah kira-kira RM400,000 dari Januari 2018 hingga Disember 2018 yang mana jumlah ini tidak jauh beza daripada sumbangan kita dalam tempoh sama sepanjang tahun sebelumnya.

Hadir sama Timbalan Presiden PEKEMA Sarawak, Datuk Ismail Abang Saufi, Naib Presiden PEKEMA Sarawak Tapah Ata, Guru Besar SK Abang Leman Kabong, Haji Bujang Lee, barisan ahli jawatankuasa PEKEMA Sarawak serta ahli-ahli syarikat PEKEMA Sarawak.

“Sama seperti beberapa tahun lalu, meskipun kita berdepan dengan keadaan ekonomi yang kurang baik, ia langsung tidak menjadi halangan kepada kita (Yayasan PEKEMA Sarawak) terus menghulurkan sumbangan serta bantuan khusus kepada mereka yang memerlukan.

“Ini sahaja cara untuk kita menyumbang semula kepada masyarakat yang memerlukan dan besar harapan kita untuk meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang,” kata Khalid.

Beliau menegaskan PEKEMA Sarawak bukan sahaja mahu menerajui arena perniagaan automotif negara, malah turut meletak sasaran untuk menjadi persatuan yang banyak menyumbang kepada rakyat.