Pekerja di Sarawak yang hilang pekerjaan digalakkan mendapatkan bantuan Perkeso

KUCHING: Pekerja di Sarawak yang hilang pekerjaan kerana syarikat muflis, ditutup atau mengecilkan operasi digalakkan mendaftar bagi mendapatkan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata demikian dan mendedahkan seramai 37,269 pekerja yang hilang pekerjaan seluruh negara sudah berdaftar dengan Perkeso tahun ini dan seramai 1, 751 pekerja terbabit dari Sarawak.

“Jadi kalau ada berlaku syarikat ini memperkecilkan operasi, penutupan syarikat atau syarikat muflis dan sebagainya, mereka (pekerja diberhentikan) boleh hadir ke mana-mana pejabat Perkeso dan kita akan membantu,”katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Pekerjaan (EIS) Perkeso Sarawak 2019 di Mydin Vista Tunku, Petra Jaya di sini, hari ini.

Mohammed Azman kebanyakkan pekerja yang kehilangan pekerjaan seluruh negara tahun ini adalah dari syarikat dalam industri pengeluaran, pengilangan, pembinaan dan perkhidmatan serta mereka samada kakitangan sokongan ataupun pengurusan tinggi.

Katanya pekerja terbabit dibantu Perkeso dari segi mencari pekerjaan dan juga bantuan kewangan melalui skim Employment Insurance System (EIS) yang telah diluluskan tahun lepas dibawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Beliau berkata dari Ogos 2018 sehingga November tahun ini, keseluruhannya seramai 28,000 yang hilang pekerjaan di seluruh negara telah dapat dibantu Perkeso samada menerima EIS atau mendapat pekerjaan baharu.

“Jadi jangan ingat pekerja cedera atau putus jari dan tidak dapat bekerja sahaja yang datang ke pejabat Perkeso, dengan adanya EIS, mereka yang hilang pekerjaan juga boleh hadir ke pejabat Perkeso,”katanya.